Tuesday, December 15, 2009

Sketsa (Adventures) Seorang Penjual Buku


Sudah dua minggu kedai buku Manzil Mustafa buka. Berbagai ragam pelanggan telah saya temui. Antaranya, dua abang-abang rok yang berpakaian "Black Sabbath" dan "Whitesnake" dengan rambut tak ikal mayang mereka (hehehe) telah kunjungi kedai. Dengan penuh khushu', mereka renungi poster para habaib di belakang kaunter saya.

"Boleh saya bantu?" saya katakan, "Ini gambar para ulama' dari Hadramaut, Yaman."

"Ulama' tu apa? Wali ke?"

Saya senyum dan mengangguk sahaja. Salah seorang dari abang-abang rok itu mengambil senaskah buku berjudul Tiga Serangkai. 

"Ni Habib Ali Kwitang, kan?"

Saya mengangguk sambil tersenyum di hati kerana terkenangkan jasa dan kemasyhuran Habib Ali. Tidak mengapalah perkataan ulama' itu tidak difahami, tapi mereka dapat mengecam para wali Allah. Alhamdulillah.

Fikiran saya merenung jauh kepada foto-foto hitam putih di Masjid Ba-Alawi Singapura. Sesungguhnya Habib Ali Kwitang itu pernah mengisytiharkan dan berdoa untuk keselamatan pembangunan Masjid Ba-Alawi itu. Tersergam indah Habib Ali serta Habib Muhammad bin Salim Al Attas, yang saya lebih kenali sebagai Habib Seranggung pada zaman nenekanda menghinap di Bedok laut dahulu. 

MashaaAllah! Penuh barakah foto itu. Saya hanya dapat bayangkan keghairahan umat Islam pada majlis pembukaan Masjid Ba-Alawi yang penuh historis.